21 Ogos 2008

BERITA HARIAN ONLINE - 21 OGOS 2008



MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pengakap di Malaysia dijadikan contoh dalam usaha memelihara keamanan sejagat menerusi falsafah pergerakan itu yang mengutamakan semangat persaudaraan tanpa mengira rumpun bangsa.

Perdana Menteri berkata, semangat persaudaraan perlu dikekalkan sebagai daya tarikan bagi memastikan generasi muda berminat untuk menganggotainya kerana kegiatan pergerakan itu bukan hanya untuk mengisi masa lapang semata-mata, sebaliknya mampu menyumbang kepada pembangunan sosial, kerohanian dan seterusnya melahirkan masyarakat yang cintakan keamanan.

"Pergerakan pengakap adalah gerakan bersifat global dan boleh dikatakan wujud di semua negara dan mempunyai falsafah kasih sayang dan kerelaan membantu sesiapa saja.

"Saya berharap keahlian pengakap di Malaysia akan bertambah kerana percaya ia harus diberi keutamaan kerana mampu memupuk semangat setia kawan dan bertanggungjawab pada peringkat usia muda.

"Saya menyertai pengakap ketika di sekolah dan pengakap mendidik saya mengenal erti persahabatan, bantu membantu, setia kawan dan tanggungjawab bersama. Kami diajar melaksanakan tanggungjawab dengan jujur," katanya selepas perasmian Jambori Pengakap Keamanan Antarabangsa Ketiga di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, dekat sini, semalam.

PELAWAT TERKINI