31 Disember 2008

RANGKUMAN AKTIVITI PPM 38 HULU LANGAT 2008

Sedar tak sedar, tahun 2008 akan melabuhkan tirainya malam ini. Namun, kita juga baru sahaja menyambut Tahun Baru 1430 Hijrah. Alhamdulillah kerana dengan kudrat yang dikurniakan olehNYA serta dengan keizinanNYA, kita semua dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti kePengakapan yang diharapkan dapat membina anak anak muda generasi akan datang terutamanya dari kalangan ahli Pengakap Kanak Kanak 38 Hulu Langat khasnya.

Dengan penuh rasa sukacitanya, izinkan saya sebagai Admin PPM38HL (Unit Laman Web) memberi sedikit rangkuman aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Unit Pengakap Kanak Kanak, Kumpulan Ke 38, Daerah Hulu Langat, Negeri Selangor, Negara Malaysia.

Harus diingat bahawa rangkuman ini adalah mewakili pemerhatian saya sendiri sebagai individu luar dan bukanlah laporan rasmi untuk pihak pentadbiran sekolah maupun untuk PPM Daerah dan/atau kedua-duanya dan/atau yang berkaitan dengan keduanya.

Dengan lafaz Bismillah, inilah rangkuman saya ...

12 Januari 2008
Mesyuarat Agong PPM38HL. Perlantikan AJK baru untuk Sessi 2008

12 April 2008
Ujian Lencana Gangsa

29 April 2008
Seramai 37 ahli PPM38HL telah menyertai Pertandingan Kawad Kaki Badan Beruniform Sekolah-sekolah Rendah Hulu Langat 2008 bertempat di SK Dusun Nanding, Selangor.

Walaupun tiada memenangi sebarang anugerah, namun pengalaman menyertai pasti memberikan pengalaman yang paling bermakna kepada setiap ahli yang terlibat.

01 Mei 2008
Laman Web Unit Pengakap Kanak Kanak, Kumpulan Ke 38, Daerah Hulu Langat, Negeri Selangor, Negara Malaysia mula dibina dengan tujuan untuk mengumpul serta menyalurkan informasi kepada warga Pengakap PPM38HL khasnya serta seluruh warga Pengakap Malaysia amnya.

02 - 04 Mei 2008
Seramai 7 ahli PPM38HL (5 pelajar Tahun 6 & 2 pelajar Tahun 4) telah terpilih untuk menyertai Kempori & Pertandingan Kemahiran Pengakap Daerah Hulu Langat bertempat di Kem Pengakap Hulu Semenyih. Perkhemahan turut membabitkan Unit Pengakap Muda & Remaja.

Diakhir perkhemahan, PPM38HL telah berjaya menjadi juara untuk Anugerah Kawad Terbaik serta Anugerah Kraftangan Terbaik. Boleh dikatakan warga PPM38HL berjaya menyelami keseronokan dalam berPengakap. Inilah juga kali pertama Admin PPM38HL menyertai aktiviti yang membabitkan PPM38HL.

24 - 27 Mei 2008
Seramai 8 ahli PPM38HL (4 pelajar Tahun 6, 2 Pelajar Tahun 5 & 1 pelajar Tahun 4) telah terpilih untuk menyertai Kempori Pengakap Negeri Selangor bertempat di Kem Puncak Alam, Hulu Selangor.

Sesungguhnya, perkhemahan ini memberi erti ketahanan sebenar kepada warga PPM38HL dan yang lain apabila berhadapan dengan masalah bekalan air serta keadaan cuaca yang amat panas apatah lagi dengan lokasi kawasan perkhemahan kawasan padang.

14 Ogos 2008
Admin PPM38HL telah menyertai acara sambutan Ulangtahun ke 100 Pengakap di Malaysia bertempat di Rumah BP Jalan Hang Jebat.

Dikesempatan ini juga dapat bertemu dengan pemimpin-pemimpin lama Admin PPM38HL (setelah lebih 16 tahun menyepikan diri dari kegiatan berPengakap) yang masih tidak jemu membantu membangunkan generasi muda kini agar dapat merasai keseronokan yang penah kami rasai dahulu.

29 - 30 Ogos 2008
Seramai 30 ahli PPM38HL (15 pelajar Tahun 5 & 15 pelajar Tahun 4) telah menyertai Kem Perdana SK Pandan Indah 2008 bertempat diperkarangan sekolah. Perkhemahan ini turut disertai oleh unit berunifom yang lain. Warga PPM38HL berjaya menjadi johan untuk aktiviti "Pandu Arah Kompas".

18 - 19 Oktober 2008
Admin bersama 2 warga PPM38HL telah menyertai Jamboree On The Internet (JOTI) 2008. Dengan menggunakan sebuah laptop dan bersiaran dari kantin SK Pandan Indah, kami berjaya berhubung menerusi internet dengan warga Pengakap seluruh dunia.

13 November 2008
Warga PPM38HL dikejutkan dengan berita perpindahan Ketua Pemimpin PPM38HL yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Daerah Hulu Langat iaitu Puan Akhmar Binti Mohd Pahri dari SK Pandan Indah.

Berita ini amat mengejutkan lagi menyedihkan apabila mengenangkan khidmat bakti yang telah ditaburkan oleh Puan Akhmar serta khidmat kepimpinannya yang sudah semestinya ditagih dari warga PPM38HL.

15 - 20 November 2008
Seluruh warga Pengakap telah berkampung di Kem Pengakap Tanjung Laboh, Batu Pahat sempena dengan Jambori Antarabangsa Johor (JAJ) 2008. Berbagai peristiwa sukaduka pasti menjadi kenangan peserta yang hadir.

Dek kerana bebanan kerja, Admin PPM38HL telah tidak berjaya mengikuti jambori tersebut secara fizikal. Namun, hasil dari kecanggihan teknologi serta ingin merasai suasana JAJ 2008, Admin PPM38HL 'secara tidak dirancang' telah berkoloborasi dengan Saudara Kinto dari PPM Gombak. Beliah akan memberikan laporan lintas langsung dari tapak JAJ ke laman web PPM Gombak dan Admin PPM38HL akan menaskahkan setiap lapuran yang dibuat di laman web PPM38HL.

Kesimpulan ...
Kegiatan berPengakap terutamanya Unit Pengakap Kanak Kanak masih relevan kepada masyarakat terutamanya untuk golongan kanak kanak kerana hanya dengan berPengakap sahajalah kanak-kanak ini dapat;
  • BELAJAR menerusi cara yang seronok dan lasak,
  • MENGEMBANGKAN kebolehan dan minat yang baru,
  • BERKONGSI sesama rakan sebaya,
  • MEMBERI PERTOLONGAN kepada orang lain,
  • BERKHIDMAT kepada masyarakat,
  • BEKERJASAMA dalam pasukan,
  • MENIKMATI kehidupan alam semulajadi,
  • MENDATANGKAN KEYAKINAN terhadap diri sendiri,
  • BERTANGGUNGJAWAB kepada amanah yang diberi,
  • MENGKREATIFKAN akal fikiran,
  • MEMBINA KEPERCAYAAN terhadap diri sendiri.

Namun, dengan jumlah kekurangan pemimpin yang berpengalaman dalam ilmu kePengakapan apatah lagi dengan minat yang tidak dapat dipastikan, aktiviti kePengakapan masakini semakin menyepi dari sanubari masyarakat.

Tiada cara lain yang dapat mendorong ibubapa untuk menggalakkan anak-anak mereka mengikuti setiap aktiviti Pengakap di sekolah melainkan PEMIMPIN-PEMIMPIN PENGAKAP sendiri menampilkan aktiviti-aktiviti yang mampu menarik minat kanak-kanak ini untuk terus setia bersama Pengakap.

Para Pemimpin Pengakap mempunyai pilihan samada mahu membabitkan ibubapa masakini secara langsung ataupun tidak langsung dalam aktiviti kePengakapan. Pembabitan secara langsung dan tidak langsung ibubapa boleh terhasil dari segi masa, tenaga, sumber kewangan maupun kemahiran.

Para Pemimpin Pengakap harus percaya bahawa diluar sana, ada kelumpuk-kelumpuk ibubapa yang ingin membantu aktiviti kePengakapan sekolah anak mereka. Cuma yang menjadi masalah mereka adalah BAGAIMANAKAH CARANYA MEREKA DAPAT MEMBANTU?

Tanpa niat ingin meninggi apatah lagi membanggakan diri, Admin PPM38HL (saya) sendiri tidak pernah terlintas untuk kembali membabitkan diri dalam aktiviti kePengakapan setelah lebih 16 tahun tidak mengikuti perkembangan dunia kePengakapan.

Namun kerana masih ada rasa minat (sekali berPengakap sentiasa berPengakap), ada rasa ingin berkongsi pengalaman (yang tidak seberapa) kepada golongan muda ini dan ada sedikit pengetahuan kePengakapan, sedikit demi sedikit saya mula merapatkan diri dengan kegiatan pengakap PPM38HL. Apatah lagi dengan penerimaan baik dari Ketua Pemimpin PPM38HL sendiri, saya merasakan seolah-olah kegiatan kePengakapan ini tiada batasan had kepada sesiapa sahaja.

InsyaAllah, saya akan "buat habis baik" untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya ini kepada warga PPM38HL khasnya serta warga pengakap Malaysia amnya agar kita semua dapat merasai dan mengalami sendiri akanapakah itu KESERONOKAN BERPENGAKAP!

Ikhlas dari saya ... Admin PPM38HL ... W(",)

07 Disember 2008

JOTI 2008 - VCD EDARAN

Syukur alhamdulillah, berjaya juga Warga PPM38HL meninggalkan cenderahati buat tatapan semua sempena JOTI 2008 yang berlangsung pada 18-19 Oktober 2008 yang baru lalu.

Tahniah dan terima kasih di atas kerjasama pihak sekolah terutamanya Guru Besar SK Pandan Indah, Puan Nik Aziah Binti Nik Yusof yang sudi memberi kebenaran serta memahami hasrat warga PPM38HL untuk menjayakan aktiviti kePengakapan setahun sekali ini.

Juga ucapan terima kasih kepada Ketua Pemimpin PPM38HL, Puan Noor Akmar Binti Md. Pahri yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Hulu Langat yang tidak henti memberikan sokongan demi menjulang kembali nama pergerakan pengakap dikalangan pelajar sekolah rendah.

Juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Zakran Bin Abdul Manan, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Perhubungan & Teknologi Maklumat yang telah sudi membantu PPM38HL (dan pastinya sesiapa sahaja) sehingga berjaya menyiapkan laman web rasmi JOTI 2008 tersebut.


Sila klik untuk melayari laman web PPM38HL JOTI 2008









06 Disember 2008

SALAM AIDIL ADHA 2008


PELAWAT TERKINI