15 September 2010

SELAMAT HARI MALAYSIA!



"Lambat laun Persekutuan Tanah Melayu harus mendapat persefahaman dengan kerajaan Great Britain dan rakyat ketiga-tiga wilayah Borneo (Sabah, Sarawak, Brunei) dan Singapura"
... Tunku Abdul Rahman, 27 Mei 1961, Singapura.


Rancangan penubuhan Malaysia telah lama difikirkan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan keadaan dan kedudukan Tanah Melayu serta nasib 3 wilayah Borneo dan Singapura yang semuanya mempunyai kaitan dengan Tanah Melayu baik dari segi ekonomi, keselamatan dan politik.

Pada 16 Oktober 1961 Tunku Abdul Rahman membentangkan konsep Malaysia di Parlimen. Antara konsep tersebut termasuklah jaminan kedudukan ekonomi yang stabil dan pembendungan kegiatan subversif komunis. Disamping itu, ianya juga mengelakkan sebarang bentuk penjajahan di rantau ini.

Pada 20 November 1961 Tunku Abdul Rahman berlepas ke London untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Britain. Berbagai perkara telah dibincangkan di dalam rundingan 3 hari ini seperti penggunaan Pengkalan Tentera Udara di Singapura, pemindahan kedaulatan pulau Singapura kepada Tanah Melayu. Juga turut dipersetujui adalah penubuhan Suruhanjaya Cobbold bagi mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak berkenaan penubuhan Malaysia. Persetujuan telah dicapai untuk pembentukan negara baru, Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Namun disebalik persetujuan ini, beberapa halangan harus ditempuhi seperti tentangan Parti Komunis Indonesia yang mendakwa Malaysia adalah projek kerajaan Britain. Juga tuntutan kerajaan Filipina terhadap Sabah serta kerajaan Indonesia yang terang-terangan menghalang sambil mengumumkan dasar konfrantasi terhadap Malaysia.

Akibat dari ini, Tunku Abdul Rahman telah mengadakan sessi penerangan dan rundingan diantara kerajaan Filipina dan Indonesia yang akhirnya semua pihak bersetuju untuk melantik sebuah Suruhanjaya Khas Bangsa Bangsa Bersatu bagi membuat pungutan suara rakyat Sabah dan Sarawak.

Walaubagaimanapun, hasrat Tunku Abdul Rahman untuk mengistiharkan penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 tidak dapat dicapai kerana keputusan pungutan suara Suruhanjaya Khas hanya dapat diketahui pada 13 September 1963.

Akhirnya pada 16 September 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura telah bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu dan wujudlah sebuah negara baru, MALAYSIA, sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Rakyat daripada berbagai keturunan, kepercayaan agama akan bernaung di bawah satu Raja, satu Bangsa dan satu Negara.

dahulu ...
Bangsa Malaysia ... Negara Malaysia

kini ...
1 Malaysia

PELAWAT TERKINI