30 Ogos 2008

PERKHEMAHAN PERDANA SKPI 2008




Pada 29-30 Ogos 2008, telah berlangsung acara tahunan Perkhemahan Bersepadu Unit Berunifom SKPI atau lebih dikenali sebagai Kem Perdana SKPI. Pasukan Pengakap 38 Hulu Langat telah menghantar 30 orang ahli yang terdiri dari 15 pelajar Tahun 5 dan 15 pelajar Tahun 4 yang diketuai oleh adik Abdul Rauf serta dibantu oleh adik Abdul Salam.Pendaftaran telah dibuka pada jam 2.30 petang dan diikuti dengan acara mendirikan khemah pada jam 3.00 petang.

Jam 4.00 petang, peserta dijamu dengan minum petang diikuti dengan solat asar. Slot Aktiviti 1 menyusul dengan acara permainan kecil. Peserta didedahkan dengan permainan permainan yang boleh dimainkan samada dalam kumpulan kecil ataupun untuk kumpulan yang lebih besar.

Pada jam 6.30 petang, makan malam telah diberikan dan ketika ini, hujan renyai renyai telah mula turun mengakibatkan Penyelaras Kem memutuskan seandainya hujan turun lebih lebat lagi, peserta akan diarahkan untuk pindah ke dalam bilik darjah. Selepas makan malam, peserta membersihkan diri untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah diikuti dengan bacaan yasin serta solat insyak di Dewan Juita. Mujurlah, menjelang waktu isyak, hujan telah berhenti.

Acara seterusnya ialah Slot Aktiviti 2 iaitu Malam Kebudayaan. Setiap unit berunifom perlu menyampaikan 2 persembahan yang bertemakan Patriotik bersempena dengan Hari Kemerdekaan yang bakal menjelang. Pasukan Pengakap telah menyampaikan 2 buah lagu iaitu 'Si Baju Hijau' & 'Anak Gajah'. Sejurus itu, minum malam telah disediakan dan dikuti dengan acara padam lampu (tidur).

Hari kedua bermula dengan solat subuh diikuti dengan kuliyah subuh. Selepas membersihkan diri serta kawasan perkhemahan, peserta telah diberikan t-shirt rasmi perkhemahan.Selepas itu, sarapan pagi telah diberikan diikuti dengan Slot Aktiviti 3 iaitu belajar Arah Kompas, Pertolongan Cemas & Memasak Roti Lilit. Setiap unit berunifom akan bertukar giliran mengikuti setiap slot berkenaan.


Pada jam 12.00 tengahari, acara menurunkan khemah telah dijalankan memandangkan cuaca yang mendung. Para peserta telah dipindahkan ke dalam bilik darjah. Selesai acara menurunkan khemah, peserta telah dijamu dengan makan tengahari diikuti dengan solat zohor.

Tepat jam 2.00 petang, 2 aktiviti telah dijalankan secara serentak iaitu Arah Kompas & Memasak Roti Lilit. Pengakap Tahun 5 telah ditugaskan untuk Memasak Roti Lilit manakala Pengakap Tahun 4 menyertai acara Arah Kompas. Pada ketika ini juga hujan mulai turun, pada mulanya sekadar renyai renyai sahaja dan diikuti dengan lebat.

Pada ketika inilah kemantapan fizikal & mental diuji pabila terpaksa memasak roti lilit di dalam hujan. Mujurlah dengan kerjasama semua ahli, skarf pengakap telah dijadikan sebagai bumbung kepada dapur untuk membakar roti lilit.

Manakala, peserta Arah Kompas pula terpaksa berhempas pulas di dalam hujan mengikuti setiap arahan yang diberikan disetiap 'check-point'. Jika salah satu 'check-point' tidak dijumpai, alamatnya tersekatlah usaha mereka. Arahan 'check-point' terakhir adalah menghasilkan ''mumia' dari tisu.

Acara penutup telah diadakan pada jam 4.00 petang. Guru Besar, Puan Nik Aziah Nik Yusof telah sudi merasmikan majlis penutupan Perkhemahan Perdana SKPI 2008 di kantin sekolah kerana hujan masih lebat. Beliau bersyukur kerana tiada sebarang masalah atau kemalangan besar yang menimpa disepanjang aktiviti dijalankan. Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua tenaga petugas prkhemahan pada kali ini.

Acara penyampaian hadiah juga telah disampaikan dimana pasukan Pengakap 38 Hulu Langat telah dipilih menjadi johan dalam acara Arah Kompas kerana berjaya menamatkan acara dalam masa terpantas. Tahniah!

Dikesempatan ini juga, PPM38HL ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada PPM 41 Hulu Langat & PPM 42 Hulu Langat kerna turut membantu serta memeriahkan perkhemahan ini.

21 Ogos 2008

BERITA HARIAN ONLINE - 21 OGOS 2008



MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu pengakap di Malaysia dijadikan contoh dalam usaha memelihara keamanan sejagat menerusi falsafah pergerakan itu yang mengutamakan semangat persaudaraan tanpa mengira rumpun bangsa.

Perdana Menteri berkata, semangat persaudaraan perlu dikekalkan sebagai daya tarikan bagi memastikan generasi muda berminat untuk menganggotainya kerana kegiatan pergerakan itu bukan hanya untuk mengisi masa lapang semata-mata, sebaliknya mampu menyumbang kepada pembangunan sosial, kerohanian dan seterusnya melahirkan masyarakat yang cintakan keamanan.

"Pergerakan pengakap adalah gerakan bersifat global dan boleh dikatakan wujud di semua negara dan mempunyai falsafah kasih sayang dan kerelaan membantu sesiapa saja.

"Saya berharap keahlian pengakap di Malaysia akan bertambah kerana percaya ia harus diberi keutamaan kerana mampu memupuk semangat setia kawan dan bertanggungjawab pada peringkat usia muda.

"Saya menyertai pengakap ketika di sekolah dan pengakap mendidik saya mengenal erti persahabatan, bantu membantu, setia kawan dan tanggungjawab bersama. Kami diajar melaksanakan tanggungjawab dengan jujur," katanya selepas perasmian Jambori Pengakap Keamanan Antarabangsa Ketiga di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, dekat sini, semalam.

20 Ogos 2008

THE STAR ONLINE 20-08-2008 01:46:18 PETANG



MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pergerakan pengakap mampu membantu dalam mewujudkan keamanan sejagat berdasarkan kepada falsafah mereka yang menjurus kepada penekanan terhadap aspek mengenai persaudaraan, kedamaian dan keamanan.

Perdana Menteri berkata anggota pengakap di seluruh dunia disemai dengan semangat persaudaraan yang tinggi, cintakan keamanan, kedamaian dan bersedia memberi pertolongan pada bila-bila masa.

"Pengakap adalah satu pergerakan yang global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini hari ini.

Jambori selama tujuh hari yang bermula sejak 18 Ogos lepas, dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari negara rantau Asia Pasifik seperti Mesir, Lubnan, Thailand, Yaman, Kuwait, Indonesia, Turki dan Malaysia.

Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia berkata melalui jambori yang diadakan itu, anggotanya boleh berbincang sesama mereka mengenai pelbagai perkara-perkara ke arah mewujudkan keamanan dan kedamaian.

Beliau berkata dalam jambori terdapat peserta yang datang dari negara-negara Timur Tengah yang berhadapan dengan masalah-masalah tertentu.

"Dengan adanya pertemuan ini, mereka akan dapat memahami masalah dan penderitaan yang dialami oleh rakyat di sesetengah negara-negara Timur Tengah," katanya.

Abdullah berkata di Malaysia, anggota pengakap sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan secara sukarela terutamanya ketika muncul kejadian bencana alam atau kemalangan lain yang memerlukan ramai tenaga sukarelawan.

Beliau berharap ramai lagi sukarelawan, terutama dari golongan belia, akan menganggotai pergerakan pengakap dalam negara.

"Saya sendiri adalah anggota pengakap semasa di sekolah dan saya amat menghargai persahabatan yang dijalinkan antara saya dan pelajar-pelajar dari kaum Cina, India, Singh pun ada; dan juga kawan-kawan sebangsa dengan saya. Sehingga hari ini (kami) masih ada hubungan persahabatan, mereka masih sahabat saya," katanya.

Abdullah seterusnya berkata beliau berharap peserta dari luar negara dapat meluangkan masa untuk melawat Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan Kuala Lumpur bagi melihat pembangunan yang pesat dan kehidupan masyarakat berbilang bangsa yang harmoni di Malaysia. BERNAMA

UTUSAN MALAYSIA ONLINE - 20/08/2008 1:36 PETANG

MELAKA 20 Ogos — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata pergerakan pengakap mampu membantu dalam mewujudkan keamanan sejagat berdasarkan kepada falsafah mereka yang menjurus kepada penekanan terhadap aspek mengenai persaudaraan, kedamaian dan keamanan.

Perdana Menteri berkata, anggota pengakap di seluruh dunia disemai dengan semangat persaudaraan yang tinggi, cintakan keamanan, kedamaian dan bersedia memberi pertolongan pada bila-bila masa.

“Pengakap adalah satu pergerakan yang global,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini hari ini.

Jambori selama tujuh hari yang bermula sejak 18 Ogos lepas, dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari negara rantau Asia Pasifik seperti Mesir, Lubnan, Thailand, Yaman, Kuwait, Indonesia, Turki dan Malaysia.

Abdullah yang juga Presiden Persekutuan Pengakap Malaysia berkata melalui jambori yang diadakan itu, anggotanya boleh berbincang sesama mereka mengenai pelbagai perkara-perkara ke arah mewujudkan keamanan dan kedamaian. - Bernama

14 Ogos 2008

ULANGTAHUN KE 1OO PERSEKUTUAN PENGAKAP MALAYSIA

Photobucket

Bersempena dengan ulangtahun ke 100 Kepengakapan di Malaysia, Ibupejabat PPM telah mengadakan Majlis Pelancaran Setem Ulangtahun Ke-100 Persekutuan Pengakap Malaysia bertempat di Rumah BP, Jalan Hang Jebat Kuala Lumpur.

Majlis bermula dengan kehadiran para jemputan dan tetamu khas. Pada jam 10.00 pagi, ketibaan Ketua Pengakap Negara, Y. Bhg. Dato' Seri Dr. Haji Shafie Salleh dan diikuti dengan ketibaan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri.

Selepas itu nyanyian lagu Negaraku diikuti dengan lagu rasmi pengakap telah dinyanyikan serta bacaan persetiaan pengakap dan bacaan doa. Kemudian ucapan alu-aluan dari Ketua Pengakap Negara serta ucapan perasmian oleh Menteri Belia dan Sukan.

Sejurus itu, lawatan ke gerai pameran yang terdapat disekitar Rumah BP. Hadirin turut dijamu dengan jamuan makan serta persembahan.



Apa yang menarik, ahli pengakap tidak putus putus datang berkunjung dan mengambil kesempatan untuk bergambar dengan Ketua Pengakap Negara serta tetamu tetamu khas lain. Memang peluang yang tidak mungkin dilepaskan oleh para pengakap.



Penulis sempat juga berbual dengan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Selangor, Tuan Haji Ishak Joned dan bertanyakan beliau mengenai aktiviti pengakap Negeri Selangor. Penulis juga tidak lupa untuk mempelawa beliau melawat laman web Pengakap 38 Hulu Langat ini.



Klik SINI untuk membaca perutusan khas Ketua Pengakap Negara Sempena Ulangtahun Ke 100 Persekutuan Pengakap Malaysia.

13 Ogos 2008

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 51!

Maksud Logo

  • 3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
  • 3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Maksud Warna

  • Merah simbol keberanian rakyat.
  • Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia.
  • Biru lambang perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia.
  • Kuning lambang Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Juga lambang kegemilangan dan keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

APAKAH ERTI KEMERDEKAAN KEPADA ANDA?

08 Ogos 2008

PERKHEMAHAN PERDANA SKPI 2008

Sukacita dimaklumkan bahawa pasukan Pengakap 38 Hulu Langat akan mengikuti satu perkhemahan anjuran Sekolah Kebangsaan Pandan Indah (SKPI) yang akan diadakan seperti butiran berikut:

PERKHEMAHAN PERDANA SKPI 2008

Tarikh
29hb - 30hb Ogos 2008 (Jumaat & Sabtu)

Masa
2.30 petang (Jumaat) hingga 4.30 petang (Ahad)

Lokasi
Sekolah Kebangsaan Pandan Indah (SKPI)

Pendaftaran
2.30 petang berpakaian t-shirt pasukan unifom/sukan, seluar trek hitam/bitu tua kasut hitam

Tujuan
Memupuk jati diri ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang & terbilang

Yuran Penyertaan
RM20.00 sahaja

Ahli pengakap 38 Hulu Langat yang ingin turut serta perlu berunifom lengkap. Sila berikan nama penuh, kelas beserta yuran penyertaan kepada Puan Akma secepat mungkin.

Penyertaan adalah terhad.

Sekian, harap maklum.

01 Ogos 2008

100 TAHUN KEPENGAKAPAN DI MALAYSIA



Kepada semua ahli pengakap Kumpulan 38 Hulu Langat khasnya serta ahli pengakap Daerah Hulu Langat, ahli pengakap Negeri Selangor & ahli pengakap Malaysia amnya ... SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN KEPENGAKAPAN MALAYSIA KE 100 yang jatuh pada hari ini, 1 Ogos 2008!

Bersempena dengan sambutan 100 tahun kepengakapan ini di Malaysia, satu majlis pelancaran "Setem 100 Tahun Kepengakapan Malaysia" akan dilancarkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia.

Butiran lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh
14 Ogos 2008 (Khamis)

Masa
08.00 pagi hingga 17.00 petang

Lokasi
Rumah BP, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur

Acara Kemuncak
Perasmian oleh YB Menteri Penerangan Malaysia pada jam 10.30 pagi

Datanglah beramai-ramai dengan berpakaian seragam lengkap. Setem Dan Sampul Hari Pertama akan mula dijual pada majlis tersebut.


Sejarah Ringkas Pengakap Malaysia

Dipercayai pengakap di Malaysia telah mula ditubuhkan pada tahun 1908 oleh seorang peguam yang bernama En. G.H. Goh di Pulau Pinang tetapi kurang mendapat sambutan. Amat malang sekali kerana kita tiada mempunyai bukti untuk menyokong penubuhan ini.

Usaha seterusnya terus dijalankan dan secara rasminya telah ditubuhkan Persekutuan Budak Pengakap Tanah Melayu pada tanggal 2hb Julai 1910. Persekutuan Budak Pengakap Tanah Melayu telah menjadi ahli penuh Persidangan Pengakap Sedunia pada 1 Sepetember 1957.

Persekutuan Budak Pengakap Tanah Melayu telah bertukar nama kepada Persekutuan Pengakap Malaysia dimana dianggotai Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tahun 1964.


Rumah B.P.

Rumah B.P. yang terletak di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur merupakan ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia. Ia telah dibuka dengan rasminya pada 5 Januari 1957 bersempena dengan perayaan ulang tahun yang ke-50 Pengakap Dunia. Kos pembinaannya menelan belanja RM150 ribu.

Rumah B.P. adalah nadi pergerakan pengakap Malaysia seluruh negara. Di sinilah Ketua Pesuruhjaya Negara mengarahkan segala gerak kerja Persekutuan Pengakap Malaysia sehingga kini.

PELAWAT TERKINI