07 November 2009

ISTIADAT MENINGKAT





Persekutuan Pengakap Malaysia, Kumpulan Ke 38, Daerah Hulu Langat, Selangor menyambung tradisi kePengakapan sedunia dengan mengadakan Istiadat Meningkat bagi meraikan ahli-ahli aktif PPM38HL Tahun 6 yang akan meninggalkan alam persekolahan sekolah rendah untuk memasuki alam sekolah menengah dan secara tidak langsungnya meninggalkan era Pengakap Kanak Kanak dan memasuki era Pengakap Muda.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut majlis seumpamanya diadakan. Jika dipandang dari zahirnya, tidak ramai yang mengetahui apakah tujuannya majlis ini diadakan. Namun bagi mereka yang pernah merasainya, pasti akan terkenang akan peristiwa ini kerana ia adalah kali terakhir mereka menjalankan aktiviti bersama sebagai sebuah PEK Pengakap Kanak Kanak setelah bersama-sama menjalankan aktiviti kePengakapan sejak dari mereka di dalam Tahun 3 lagi.

Istiadat Meningkat ini telah dijalankan pada 24 Oktober 2009 bertempat di kawasan perhimpunan SK Pandan Indah sejurus selepas tamatnya Perkhemahan Perdana SK Pandan Indah 2009.

Majlis dimulakan dengan Istiadat Laung Agung. Kemudian penerangan tentang tujuan Istiadat Meningkat ini diadakan. Setelah itu, nama-nama Pengakap Tahun 6 dipanggil dan membuat satu barisan dihadapan pemimpin. Pemimpin memberikan kata-kata akhir dan diikuti dengan acara penyampaian Beret Hijau.

(Beret Hijau beserta lambang Pengakap merupakan sebahagian dari pakaian rasmi Pengakap Muda sebelum digantikan dengan 'forage cap') .

Majlis diteruskan dengan pembacaan Persetiaan Pengakap yang terakhir bagi Pengakap Tahun 6 sebagai seorang Pengakap Kanak Kanak dan seterusnya Pengakap Tahun 6 bersalaman dengan semua 'adik-adik' yang akan mereka tinggalkan. Memandangkan tiada pemimpin Pengakap Muda yang hadir, majlis berakhir dengan sorakan 3 kali 'yell' kepada Pengakap Tahun 6 yang berbunyi:

Sekali BerPengakap ... Terus BerPengakap!

Moga Pengakap Tahun 6 ini dapat meneruskan pengembaraan mereka sebagai seorang Pengakap Muda hinggalah ke peringkat tertinggi di dalam Pengakap iaitu sebagai seorang PENGAKAP RAJA!

PELAWAT TERKINI