26 Mac 2010

PERJUMPAAN AKTIVITI KE 4

Tarikh : 26hb Mac 2010 (Jumaat)
Masa : 5.30 petang - 6.30 petang
Lokasi : Depan Dewan Juita, SK Pandan Indah
Kehadiran Murid : 22 orang
Kehadiran Pemimpin : 2 orang

Alhamdulilah, sekali lagi warga PPM38HL telah berjaya menjalankan aktiviti mingguan tambahan. Cuaca juga agak cerah seakan merestui aktiviti kami. Selepas kesemua ahli bersedia, istiadat laung agung telah diadakan menandakan aktiviti telah bermula.

Kehadiran pada kali ini telah bertambah dari minggu sebelumnya. Begitulah harapan kami para pemimpin agar semangat dan minat anak-anak pewaris masa depan negara ini dalam aktiviti kePengakapan.

Ucapan ringkas dari Pemimpin Kumpulan menyentuh mengenai pentingnya surat kebenaran ibubapa/penjaga jika mahu menghadiri aktiviti kePengakapan. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan mereka tidak dibenarkan mengikuti aktiviti yang dijalankan walaupun telah hadir ke sekolah. Pakaian seragam juga turut disentuh.

Selepas itu, ahli dipecahkan kepada 4 kumpulan dan diajar latihan asas kawad seperti senang diri, rehatkan diri dan sebagainya.


Ketua setiap kumpulan telah dilantik dari kalangan AJK yang juga merupakan ahli pasukan kawad PPM38HL ke pertandingan kawad sekolah rendah tahun 2009 yang lepas.


Nyata masih banyak lagi pergerakan kawad yang perlu diperbaiki. Namun adalah tidak menghampakan apabila ketua yang dipilih telah menjalankan tugas mereka dengan baik sekali.


Ini selaras dengan tujuan untuk melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan boleh memimpin.


Selepas aktiviti kawad, ahli telah diberikan nota untuk Lencana Keahlian. Ahli diingatkan supaya dapat mempraktikkan nota yag diberi sebaik mungkin dan memastikan Buku Log di dalam keadaan kemas dan bersih. Sebelum bersurai pada jam 6.30 petang, ahli diingatkan supaya menyerahkan borang pendaftaran 2010 selewatnya pada hari Selasa depan.


Tidak dilupakan juga ucapan penghargaan dan terima kasih dari Guru Besar, Puan Nik Aziah Nik Yusoff di atas bantuan dari PPM38HL semasa berlangsungnya Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah Hulu Langat, Zon Ampang bagi peringkat umur 12 tahun ke bawah pada 23-24 Mac 2010 lalu di mana SK Pandan Indah merupakan tuan rumah kejohanan tersebut.


06 Mac 2010

PERJUMPAAN AKTIVITI KE 3

Tarikh : 5hb Mac 2010 (Jumaat)
Masa : 5.30 petang - 6.30 petang
Lokasi : Depan Dewan Juita, SK Pandan Indah
Kehadiran Murid : 16 orang
Kehadiran Pemimpin : 2 orang

Walaupun hujan turun agak lebat sejak jam 4.30 petang, ianya tidak menghalang semangat warga PPM38HL menjalankan aktiviti kePengakapan 'tambahan' buat julung kalinya pada hari Jumaat setelah mendapat restu dari Puan Nik Aziah Nik Yusof, Guru Besar SK Pandan Indah. Malah Puan Nik Aziah turut hadir menyaksikan aktiviti yang diadakan walaupun beliau sudah berada di sekolah sejak dari waktu persekolahan sessi pagi lagi.

Sebelum aktiviti bermula, Penolong Pemimpin meminta surat kebenaran ibubapa/penjaga dari ahli yang hadir kerana ia adalah antara syarat untuk PPM38HL mengadakan aktiviti tambahan pada hari Jumaat.

Ahli diingatkan bahawa jika mereka tidak membawa surat kebenaran dari ibubapa/penjaga , mereka tidak dibenarkan untuk mengikuti aktiviti yang diadakan. Ahli juga turut diingatkan bahawa surat makluman ibubapa/penjaga akan diedarkan hanya jika ada aktiviti pada hari Jumaat minggu tersebut.

Aktiviti dimulakan dengan Istiadat Laung Agong diikuti dengan pemeriksaan pakaian seragam. Selepas itu upacara perlantikan secara rasmi bagi pemegang jawatan yang masih belum dilantik pada perjumpaan yang lepas telah disempurnakan oleh Pemimpin Kumpulan, Cikgu Faris Mat Zain dan diikuti dengan aktiviti asas kawad.

Selepas itu, nota untuk Bulu Log Lencana Keahlian telah diberikan kepad ahli baru. Nota untuk Lencana Keris Gangsa dan Lencana Keris Perak akan diberikan pada perjumpaan selepas cuti sekolah disebabkan kesuntukkan masa dan Jumaat depan tiada aktiviti Pengakap kerana acara merentas desa.

Selepas pemberian nota Lencana Keahlian, tibalah masa untuk warga PPM38HL menghiburkan hati dengan belajar menyanyi lagu Pengakap. Pada kali ini, mereka diajar dengan lagu 'Oh Eppo' beserta dengan rentak sekali. Pada mulanya, mereka diberi masa untuk menghafal lagu dan diikuti dengan rentak.

Setelah ahli mahir, mereka dipecahkan kepada 3 kumpulan yang mana mereka perlu bersaing dari segi kekuatan suara, keseragaman rentak dan kerjasama berpasukan agar tidak dilabel sebagai pasukan yang kalah. Walaubagaimanapun, adat dalam berPengakap, denda yang diberikan tidaklah teruk, sekadar untuk menghiburkan hati setelah seharian bersekolah.

Denda kepada pasukan yang kalah adalah mereka perlu menari mengikut rentak lagu yang dinyanyikan pada petang itu iaitu 'Sahibul Hikayat' yang berentakkan padang pasir. Apa lagi, pecah perut mereka yang hadir termasuklah para pelajar sessi petang melihat aksi rakan mereka menari gelek.

Aktivit bersurai tepat jam 6.30 petang selepas Istiadat Laung Agong.


Sahibul Hikayat

Sahibut hikayat wal pulut wal duriani
Mula mula ... mula mula ... mula mula ana parangi
Belah belah ... belah belah ... belah belah ada isi

Wal sakar .. wal santan ... dalam pinggan gaul gaulan
Cakpuak ... cakpuak .. cakpuak ke mulut ni

Tiga pinggan ana makan
sakit perut ana masuk jamban

Tiga bungkus ana kebas
sakit perut ana masuk tandas

03 Mac 2010

PERMOHONAN AKTIVITI HARI JUMAAT DILULUSKAN!



Pertemuan diantara Pemimpin Kumpulan Ke 38 Hulu Langat, Cikgu Mohd Faris Mat Zain dan Kuasa Penganjur Kumpulan Ke 38 Hulu Langat yang juga Guru Besar SK Pandan Indah, Puan Nik Aziah Nik Yusof berjaya menyerlahkan bahawa Sekolah Kebangsaan Pandan Indah mempunyai seorang Guru Besar yang BERJIWA PENGAKAP!

Pertemuan ini sebenarnya adalah untuk memohon kebenaran Puan Guru Besar bagi membolehkan aktiviti tambahan diadakan pada hari Jumaat demi memenuhi keperluan mempersiapkan ahli Kumpulan Ke 38 Hulu Langat dengan ilmu-ilmu kePengakapan disamping melengkapkan Buku Log ahli bagi menghadapi ujian-ujian seperti Lencana Keahlian sehingga ke Anugerah Rambu Pengakap Kanak Kanak.

Berbagai isu lain mengenai kePengakapan di SK Pandan Indah turut dibincangkan termasuklah cadangan untuk mengadakan sebuah 'TAPAK PERKHEMAHAN PENGAKAP' di kawasan antara kantin sekolah dan kawasan padang.

Dengan sokongan padu Puan Nik Aziah, moga Pengakap Kumpulan Ke 38 Hulu Langat akan menjadi persatuan teraktif di sekolah dan kumpulan teraktif dalam Daerah Hulu Langat bagi unit Pengakap Kanak Kanak.


TERIMA KASIH PUAN NIK AZIAH!!!

PELAWAT TERKINI