25 Oktober 2010

PERKHEMAHAN PERDANA SKPI, MAJLIS PENYERAHAN TUGAS & ISTIADAT MENINGKAT 2010

Syukur ke hadrat Illahi, kerana dengan limpah kurniaNYA telah mengizinkan Warga PPM38HL menjalankan 3 agenda tahunan di dalam satu masa. Agenda-agenda yang dimaksudkan adalah Perkhemahan Perdana Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, Majlis Penyerahan Tugas AJK Tahun 6 kepada AJK Tahun 5 serta Istiadat Meningkat bagi Pengakap Tahun 6.

Agenda pertama adalah Perkhemahan Perdana Unit BerUnifom Sekolah Kebangsaan Pandan Indah yang telah berlangsung dari 22/10/2010 hingga 23/10/2010 di perkarangan SK Pandan Indah. Seramai 18 ahli PPM38HL mula berkumpul pada jam 3.00 petang walaupun hujan lebat telah turun semenjak dari semasa Solat Jumaat tadi.

Kem Komandan, Cikgu Zul yang juga merupakan Penolong Pemimpin Pengakap PPM38HL telah mengarahkan kesemua peserta meletakkan barangan masing-masing di dalam kelas yang diperuntukkan untuk peserta lelaki dan perempuan. Selepas itu, kesemua peserta dikumpulkan di dalam bilik darjah untuk diberikan penerangan mengenai perkhemahan yang akan mereka sertai. Puan Faridah Ahmad, GPK Koku turut mengingatkan peserta agar menjaga keselamatan dan tatatertib disepanjang Perkhemahan Perdana berlangsung.

Lebih kurang pada jam 5.00 petang, barulah hujan mulai reda. Aktiviti pertama pada petang hari pertama merupakan "Permainan Tradisional" yang telah dikendalikan oleh Cikgu Zuhir. Setiap Unit berUnifom telah dipecahkan kepada 2 kumpulan dan 3 jenis permainan tradisional telah dipertandingkan sehingga jam 6.00 petang.

Selepas itu, peserta dikumpulkan sekali lagi dan dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil bagi mereka mendirikan khemah. Setiap kumpulan mengandungi 6 peserta dan mereka perlu memilih rakan sekhemah dari unit berunifom yang lain.

Sebaik aktiviti mendirikan khemah selesai, peserta diarahkan membersihkan diri bagi sessi solat maghrib, bacaan yasin diikuti solat isyak yang diketuai oleh Ustaz Azizan. Setelah selesai, peserta mula menjamu selera di kantin sekolah yang disediakan oleh guru-guru SK Pandan Indah yang diketuai oleh GPK HEM, Puan Junaidah.

Aktiviti pertandingan seterusnya adalah Malam Kebudayaan. Setiap Unit berUnifom perlu membuat 2 persembahan dengan tema yang diberikan. Pengacara majlis merupakan Cikgu Iznan, juga Penolong Pemimpin Pengakap PPM38HL. Berbagai persembahan berjaya mencuit hati penonton yang hadir termasuklah Guru Besar, Puan Nik Aziah Nik Yusof. Acara malam kebudayaan selesai lebih kurang jam 12.00 tengah malam dan peserta dijamu dengan sedikit hidangan ringan.

Seperti kelaziman pada perkhemahan-perkhemahan sebelum ini, para peserta tetap tidak dapat melelapkan mata sehingga jam hampir ke pukul 3.00 pagi!


HARI KEDUA

Warga PPM38HL bangun seawal jam 5.00 pagi untuk mengerjakan solat subuh secara berjemaah. Selepas itu, lebih kurang pada jam 7.30 pagi, senaman pagi telah diadakan dengan diketuai oleh Cikgu Razak. Selepas itu peserta telah diberikan masa untuk membersihkan diri sebelum bersarapan pagi.


Selepas sarapan pagi, aktiviti pertandingan seterusnya merupakan acara "Mencari Harta Karun". Hampir 40 petunjuk telah disediakan disekeliling kawasan sekolah dan masa yang diberikan adalah selama 1 jam.

Namun, hasil kerjasama serta kepimpinan AJK yang terdiri dari peseerta Tahun 6 sendiri, ada unit berunifom yang berjaya menyelesaikan tugasan yang diberi dalam masa kurang dari 30 minit. Syabas warga PPM38HL yang berjaya melaksanakan tugasan ini dengan cemerlang!


Selepas itu, acara seterusnya adalah "Pertandingan Memasak". Peserta perlu menyediakan 2 jenis masakan iaitu nasi goreng dan cucur ikan bilis. Berbagai aksi mencuit aksi dipamerkan oleh peserta yang mungkin pertama kali memegang sudip dan kuali.


Selepas selesai aktiviti pertandingan memasak, para peserta dikumpulkan untuk acara membuka khemah. Selepas itu, peserta diberikan masa untuk membersihkan diri, menunaikan solat zohor dan bersedia dalam pakaian seragam unit masing-masing untuk majlis penutup.

Sejurus sebelum bermulanya majlis penutup, hujan lebat sekali lagi membasahi perkarangan SK Pandan Indah memaksa acara penutup terpaksa di adakan di dalam kantin. Acara dimulakan dengan uacapan dari Guru Besar, Puan Nik Aziah Nik Yusof yang sesungguhnya berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta hasil dari pengamatan Puan Nik Aziah sendiri yang berada di kawasan perkhemahan dari sebelum acara malam kebudayaan berlangsung sehinggalah jam 2.30 pagi.

Seterusnya, keputusan pertandingan telah diumumkan dimana barisan juri telah sebulat suara memilih persembahan peserta yang paling berjaya mencuit hati para juri sebagai pemenang. Sesungguhnya keputusan juri adalah tepat apabila telah menobatkan PPM38HL sebagai johan acara malam kebudayaan. Syabas!

Terima kasih kepada semua guru-guru SK Pandan Indah yang telah bertungkus lumus menjayakan Perkhemahan Perdana 2010 ini, baik secara langsung maupun tidak.

Sejurus selepas upacara penutup selesai, warga PPM38HL tanpa membuang masa terus melapangkan sedikit kawasan kantin untuk upacara seterusnya iaitu "Majlis Penyerahan Tugas AJK 2010" serta "Istiadat Melantik".


MAJLIS PENYERAHAN TUGAS AJK

Majlis Penyerahan Tugas lebih merupakan upacara simbolik dan sebagai penghormatan kepada AJK Tahun 6 yang telah bersama-sama para Pemimpin PPM38HL menjalankan aktiviti kePengakapan disepanjang tahun 2010 walaupun terpaksa mengharungi UPSR .





ISTIADAT MENINGKAT

Istiadat Meningkat merupakan kemuncak kepada perjalanan Pengakap Tahun 6 apabila pada tahun hadapan, mereka akan meningkat naik sebagai seorang Pengakap Muda. Dalam istiadat ini, Pengakap Tahun 6 diraikan dan diberikan cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan berupa Beret Hijau sebagai simbol Pengakap Muda. (Rujuk POR Bahagian VIII No. 282 (1)(b)).

Puan Guru Besar telah sudi memakaikan Beret Hijau ini dan beliau sendiri berasa terharu kerana akan berpisah dengan Pengakap-Pengakap Tahun 6 SK Pandan Indah kerana rata-rata mereka amat rapat dengan Puan Guru Besar.

Turut diadakan adalah Pembacaan Persetiaan Pengakap buat kali terakhir sebagai seorang Pengakap Kanak-Kanak serta bersalaman dengan adik-adik Pengakap Tahun 5 dan guru-guru yang hadir diiringi dengan lagu "Bertemu Dan Berpisah".




~ Sekali BerPengakap ... Selamanya BerPengakap ~

16 Oktober 2010

JAMBOREE ON THE INTERNET (JOTI) 2010



Greetings to Scouters from around the world and welcome to the weblog of Scout Association of Malaysia, Troop 38, District of Hulu Langat, State of Selangor, Malaysia.

We are a Cub Scout Troop with age ranging from 9 to 12 years old. Our ScoutMaster is Sir Faris ZAin. We run our scout meeting every alternate Saturday from 9.00 AM to 10.00 AM.

Feel free to browse our picture galary on the left side panel (under GALERI PPM38HL) and last but not least, kindly SIGN our GUEST BOOK on the right side panel.

@ ~ @ ~ @ ~ @ ~ @ ~ @ ~ @ ~ @ ~ @ ~ @

Salam sejahtera kepada Warga Pengakap dari seluruh dunia dan selamat datang ke laman weblog Persekutuan Pengakap Malaysia, Kumpulan Ke 38, Daerah Hulu Langat, Negeri Selangor, Malaysia.

Kami adalah kumpulan Pengakap Kanak Kanak yang berumur dari 9 hingga 12 tahun. Ketua Pemimpin Pengakap kami adalah En. Faris Zain. Kami mengadakan perjumpaan Pengakap kami pada setiap hari Sabtu berselang-seli dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Luangkan masa anda melayari laman weblog kami dan jangan lupa untuk meninggalkan ucapan anda di BUKU TAMU kami yang terletak di panel kanan.

15 Oktober 2010

ISTIADAT MENINGKAT & MAJLIS PENYERAHAN KUASA 2010

Persekutuan Pengakap Malaysia, Kumpulan Ke 38, Daerah Hulu Langat, Selangor menyambung tradisi kePengakapan sedunia dengan mengadakan Istiadat Meningkat bagi meraikan ahli-ahli aktif PPM38HL Tahun 6 yang akan meninggalkan alam persekolahan sekolah rendah untuk memasuki alam sekolah menengah dan secara tidak langsungnya meninggalkan era Pengakap Kanak Kanak dan memasuki era Pengakap Muda.

Ini adalah tahun ketiga berturut-turut majlis seumpamanya diadakan. Jika dipandang dari zahirnya, tidak ramai yang mengetahui apakah tujuannya majlis ini diadakan. Namun bagi mereka yang pernah merasainya, pasti akan terkenang akan peristiwa ini kerana ia adalah kali terakhir mereka menjalankan aktiviti bersama sebagai sebuah PEK Pengakap Kanak Kanak setelah bersama-sama menjalankan aktiviti kePengakapan sejak dari mereka di dalam Tahun 3 lagi.

Istiadat Meningkat ini dijangka akan dilaksanakan sejurus selepas tamatnya Perkhemahan Perdana SK Pandan Indah 2010. Upacara simbolik Majlis Penyerahan Kuasa dari Pengerusi (Ketua Kanan Enam Sekawan) kepada Ahli Jawatankuasa Tahun 5 dijangka turut diadakan sejurus sebelum Istiadat Meningkat ini diadakan.

Juga, diharap semua pelawat laman weblog kami dapat menerima kemunculan wajah baru weblog ini dan jika sudi boleh berikan pandangan anda samada di laman SEMBANG PPM38HL maupun di BUKU TAMU KAMI.


06 Oktober 2010

PERKHEMAHAN PERDANA UNIT BERUNIFOM 2010

Sukacita dimaklumkan bahawa pasukan Pengakap 38 Hulu Langat akan mengikuti satu perkhemahan anjuran Sekolah Kebangsaan Pandan Indah (SKPI) yang akan diadakan seperti butiran berikut:

PERKHEMAHAN PERDANA SKPI 2010

Tarikh
22hb - 23hb Oktober 2010 (Jumaat & Sabtu)

Masa
3.00 petang (Jumaat) - 4.30 petang (Sabtu)

Lokasi
Sekolah Kebangsaan Pandan Indah (SKPI)

Pendaftaran
3.00 petang berpakaian baju-t Pengakap/sukan, skaf, seluar biru tua/trek hitam, kasut hitam serta stokin biru.

Tujuan
Memupuk jati diri ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang & terbilang

Yuran Penyertaan
RM30.00 sahaja

Ahli pengakap 38 Hulu Langat yang ingin turut serta perlu berunifom lengkap. Sila dapatkan borang kebenaran ibubapa dari Ustaz Zawawi dengan kadar segera.

Penyertaan adalah terhad kepada 30 ahli sahaja.

Sekian, harap maklum.

PELAWAT TERKINI