10 Julai 2010

PERJUMPAAN YANG MENGUJAKAN AHLI!

Buat julung-julung kalinya, warga PPM38HL berjaya mendapat kebenaran Puan Guru Besar untuk mengadakan aktiviti mingguan bermula dari awal hingga tamat sessi KoKurikulum. Ini bermakna, aktiviti PPM38HL akan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.30.

Terima kasih tidak terhingga kepada Puan Nik Aziah Nik Yusof, Guru Besar SK Pandan Indah yang begitu memahami hasrat para pemimpin PPM38HL untuk menjadikan aktiviti kePengakapan sesuatu yang mampu menarik minat pelajar sekolah untuk hadir ke hari Kokurikulum.

Aktiviti PPM38HL hari ini bermula dengan aktiviti Laung Agung diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku serta pembacaan Persetiaan Pengakap. Kehadiran terdiri dari ahli Tahun 4 dan 5 sahaja kerana ahli Tahun 6 terbabit dengan kelas tambahan UPSR.

Selepas itu, warga PPM38HL telah diberikan tugasan untuk menyediakan butiran seperti berikut:
  1. Lima helai daun hidup berlainan jenis
  2. Seekor haiwan serangga yang masih hidup
  3. Melakarkan wajah guru kegemaran mereka serta nama penuh dan tandatangan guru tersebut.
Masa yang diberikan selama 30 minit dan kawasan aktiviti adalah sekitar kawasan sekolah. Antara tugasan yang mudah adalah mengumpulkan daun namun kesabaran warga PPM38HL teruji semasa ingin menangkap haiwan serangga.



Selepas tamat aktiviti di atas, penerangan diberikan mengenai tujuan tugasan diberikan. Antaranya supaya ahli menghargai tumbuhan menghijau yang membekalkan oksigen kepada manusia, mengenali tingkahlaku dan habitat haiwan serangga serta menerbitkan rasa keyakinan dalam diri apabila berhadapan dengan orang lain.

Selepas itu, warga PPM38HL diberikan masa untuk rehat dari jam 9.50 pagi. Tepat jam 10.10 pagi, warga PPM38HL kembali berkumpul untuk aktiviti seterusnya iaitu panduan memasang khemah.


Jelas kelihatan keterujaan setiap ahli apabila dapat memasang khemah dengan cara yang betul. Sebelum itu turut diterangkan faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum mendirikan khemas seperti faktor cahaya matahari, arah angin, kawasan yang sesuai serta keperluan laluan air jika berlaku hujan.


Selepas khemah siap dipasang, ahli diberikan penerangan ringkas mengenai bantuan yang perlu diberikan jika terdapat kemalangan dan ada mangsa yang patah tangan. Setiap ahli diberi peluang untuk mencuba dan nyata ahli amat teruja dengan pelajaran yang diberi. Ahli juga diingatkan supaya tidak berlagak pandai sehingga boleh memudaratkan mangsa. Lebih sesuai jika mendapatkan pertolongan orang yang lebih dewasa jika keadaan mengizinkan.


Selepas itu, warga PPM38HL beramai-ramai menjamu selera di kawasan khemah. Beralaskan tikar dan berbmbungkan langit, jelas terpancar keseronokan kerana persekitaran yang sedang mereka lalui amat hampir dengan suasana perkhemahan yang sebenar.

Selepas makan, tibalah masa untuk bersurai. Sekali lagi, ahli diberi penerangan tentang cara untuk membuka khemah serta peringatan yang paling penting iaitu meninggalkan kawasan perkhemahan dalam keadaan yang lebih bersih dari keadaan sebelum mendirikan khemah.

Nyata ahli amat berpuas hati dengan aktiviti pada hari ini dan meminta diadakan lagi aktiviti seumpama ini pada masa hadapan.

Aktiviti bersurai pada jam 11.30 pagi.


PELAWAT TERKINI