25 Julai 2010

AKTIVITI MINGGUAN : MACAM-MACAM ADAAAA ...

Tarikh : 24hb Julai 2010 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi - 11.30 pagi
Lokasi : Bersebelahan kantin sekolah, SK Pandan Indah
Kehadiran Murid : 24 orang
Kehadiran Pemimpin : 4 orang

Sekali lagi, warga PPM38HL berkumpul untuk mengadakan perjumpaan sempena Hari Kokurikulum. Perjumpaan bermula pada jam 8.00 pagi dan dimulakan dengan Istiadat Laung Agung, nyanyian lagu NegaraKu, pembacaan Persetiaan Pengakap serta bacaan doa yang turut disertai GPK Ko-Kurikulum, Puan Faridah Ahmad. Selepas itu, sedikit penerangan mengenai keperluan bersarapan setiap pagi dan pemakaian seragam Pengakap yang lengkap. Juga diterangkan mengenai aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan pada hari ini.

Aktiviti bermula dengan permainan 'TAPS'. Permainan ini berunsurkan kepada pergerakan aktif 'memburu mangsa'. Setiap Sekawan dibekalkan dengan bendera 6 Sekawan dan setiap ahli diberi pelekat warna selebar 3-4 jari mengikut warna 6 Sekawan masing-masing. Pelekat ini perlu ditampalkan di bahagian lengan baju sebelah kanan ahli dan diibaratkan sebagai 'nyawa'. Selepas itu, setiap 6 Sekawan dilepaskan secara berasingan ke lokasi yang dirahsiakan dari 6 Sekawan lain sebagai lokasi permulaan.


Tepat pada masa yang dinyatakan, setiap 6 Sekawan perlu mencari tiang bendera sebelum mereka boleh pergi berburu. Selepas berjaya, acara pemburuan bermula di mana 'pemburu' perlu memburu 'mangsa' dan mengambil pelekat 'nyawa'nya dengan cara menepuk belakang mangsa sambil menyebut TAP!

Jika berjaya, mangsa perlu menyerahkan pelekat 'nyawa'nya kepada pemburu yang akan melekatkannya di lengan baju sebelah kiri pula. Mangsa yang sudah tiada 'nyawa' perlu kembali ke tapak istiadat sementara menunggu masa tamat. Jelas kelihatan keazaman setiap ahli untuk memastikan 'nyawa'nya tidak dirampas sebegitu mudah. Adengan menyembunyikan diri dan kejar mengejar jelas kelihatan disekitar kawasan sekolah.

Masa yang diberi selama 30 minit nyata tidak mencukupi namun pemenang dipilih dari ahli yang berjaya memburu paling ramai mangsa atau 6 Sekawan yang memiliki ahli yang paling ramai masih hidup. Kemenangan berpihak kepada 6 Sekawan Kelabu. Tahniah! Ahli turut diberi penerangan tujuan permainan TAPS ini diadakan seperti sifat bekerjasama di dalam 6 Sekawan serta keperluan merancang strategi untuk memburu.


Selepas itu, aktiviti sub-stesen telah diadakan. Antara sub-stesen tersebut adalah mempelajari ikatan, membuat kraftangan dari bahan buangan atau bahan semulajadi, memasang serta membuka khemah dan persembahan.


Tujuan sub-stesen ini diadakan adalah supaya setiap ahli dapat membabitkan diri secara akfif bagi mengelakkan ahli merasa bosan. Dengan mengadakan sub-sub stesen ini, masa setiap ahli akan sentiasa terisi. Selain itu, setiap Sekawan turut dipecahkan kepada 3 sub-unit mengandungi 2 ahli semasa membuat aktiviti hasil kraftangan dan aktiviti memasang serta membuka khemah.


Sebelum bersurai, ahli ditanyakan pengalaman mereka mengikuti aktivit pada hari ini. Semua ahli sebulat suara menyatakan keseronokan dan kepuasan mereka malah mahukan aktiviti seumpana ini diadakan lagi. Pemimpin juga meminta kerjasama para ahli agar dapat mengajak lebih ramai lagi rakan mereka pada perjumpaan akan datang kerana bermacam aktiviti berlainan akan diadakan pada perjumpaan akan datang.


Selepas ahli bersurai, para pemimpin berkumpul untuk membuat 'post-mortem' serta mengenal pasti ahli-ahli yang mempamerkan kesungguhan dalam aktiviti yang dijalankan.

PELAWAT TERKINI