12 April 2008

Sejarah Pengakap Dunia

Pada 22 Februari 1857, seorang bayi telah dilahirkan di sebuah rumah berhampiran Hyde Park, London. Bayi itu dinamakan Robert Stephenson Smyth Baden Powell.

Bapanya bernama Reverend H.G. Baden Powell, iaitu seorang maha guru di Universiti Oxford. Ibunya ialah anak seorang Laksamana British bernama W.T. Smyth. Beliau mempunyai tujuh orang adik-beradik.

Pada usia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau dalam pemeliharaan ibunya. Beliau sangat gemar kepada penghidupan di luar rumah. Beliau terkenal dengan nama ringkas BP. BP amat sayang kepada kanak-kanak.

BP ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Askar Hussar ke-13 dan ditempatkan di India pada tahun 1876 dan kemudian mendapat pangkat Ketua Inspektor pada tahun 1903.

Dalam satu serangan terhadap Mafeking pada tahun 1899, BP merancang membawa pesanan-pesanan dan menggantikan askar-askar di medan perang dengan kanak kanak yang tinggal di bandar yang diserang itu.

Kepantasan dan kecekapan kanak kanak ini meninggalkan kesan yang amat dalam pada hati BP dan pada tahun 1907, ketika pulang ke England, beliau telah menganjurkan suatu perkhemahan percubaan di Pulau Brownsea bagi kanak-kanak lelaki.

Melalui kejayaan perkhemahan di Pulau Brownsea itu, pada tahun 1908, BP telah mengarang sebuah buku bernama Scouting For Boys.

BP menanam semangat taat kepada Tuhan, Raja dan Negara. Kejayaan ini tidak dapat ditandingi oleh teman-teman yang sezaman dengannya. Inti daripada pusaka yang ditinggalkannya ialah adunan teratur bagi kecekapan dan tatatertib yang mengembangkan dasar dasar asas seorang manusia.

Dalam Jambori Pengakap Sedunia Pertama di Olympia, BP telah dilantik menjadi Pengakap Agung bagi seluruh dunia.

Pada tahun 1937, sewaktu berumur 80 tahun, BP bersama-sama isterinya. Lady Baden Powell, seorang yang telah bersungguh-sungguh membantu BP dalam segala kerja mengembangkan pergerakan pengakap, dengan disertai oleh anak-anaknya, meninggalkan Bandar Raya London menuju Kenya di Afrika dan bermastautin di sebuah kampung yang aman dengan pemandangan yang indah, hutan yang menghijau, kemuncak gunung yang diselaputi oleh saiji; di situlah BP berehat setelah lama berbakti kepada dunia.

Buku Scouting For Boys dijadikan panduan untuk semua pengakap dunia. Ramai yang telah menerima ideanya kerana ini terbukti dengan perkembangan pergerakan ini ke serata dunia kecuali negara-negara komunis.

Pergerakan pengakap telah memberi peluang kepada muda mudi mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan telah menunjukkan kecekapan dalam berbagai perkara yang diuji. Pada mulanya masyarakat menganggap perkhemahan sebagai sesuatu yang janggal, tetapi Lord Baden Powell telah menyangkal perkara ini sehinggalah kini perkhemahan bukan sahaja popular di kalangan pengakap malah di kalangan masyarakat biasa.

Lord Baden Powell telah menerima banyak anugerah scperti 'Baron’ dan telah menjadi Ketua Pengakap Dunia. Pada tahun 1937, beliau menerima Order of Merit. Beliau telah meneruskan usaha dalam lapangan ini sehingga berumur 80 tahun.

Beliau kemudiannya melancong ke serata pelosok dunia untuk menyaksikan sendiri kegiatan pengakap dan pandu puteri. Seumur hidupnya, BP telah berusaha mewujudkan kegembiraan kepada orang lain melalui pergerakan pengakap.

Oleh yang demikian, adalah menjadi kerugian besar bagi semua orang khususnya pengakap apabila pada 8 Januari 1941 BP meninggal dunia. Mendiang dikebumikan dengan penuh kchormatan di bawah bayang-bayang kelembutan Gunung Kenya.


Kata-kata akhirnya kepada kita semua di dalam pergerakan ini ialah :

TUHAN MEMIMPIN DAN MEMBANTUMU DI DALAM KERJA-KERJAMU.



PELAWAT TERKINI