30 April 2008

Pengenalan


Pergerakan Pengakap merupakan salah satu badan beruniform (berpakaian seragam) yang giat bergerak di negara ini. Salah satu cabang dalam pergerakan ini ialah Pengakap Kanak-kanak.

Pengakap Kanak-kanak mengandungi ahli-ahli yang berumur antara (8 tahun hingga 12 tahun - murid-murid sekolah rendah). Pergerakan Pengakap Kanak-kanak menjadi salah satu gerakerja kumpulan yang memberi khidmat kepada sekolah dan masyarakat.

Di bawah program KBSR Pergerakan Pengakap Kanak-kanak telah dipilih sebagai salah satu gerakerja kokurikulum yang diwajibkan di semua sekolah rendah. Ini disebabkan ianya didapati amat sesuai dijalankan oleh murid-murid pada peringkat ini.

Pergerakan Pengakap Kanak-kanak merupakan satu cara didikan yang boleh dijalankan di dalam dan di luar sekolah. Aktiviti Pergerakan Pengakap Kanak-kanak mudah diikuti dan menarik minat murid-murid. Di samping itu, ia dapat pula menyemaikan sifat-sifat kepemimpinan, bekerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan mereka.


MATLAMAT
  • Mengembangkan kebolehan mental, minat, bakat serta perkembangan rohani dan jasmani mereka;
  • Mengukuh dan memperkayakan pengalaman yang dipelajari di dalam bilik darjah;
  • Menyediakan mereka dalam proses penyesuaian bermasyarakat dengan cara memberi pengalaman untuk berhubung, bergaul dan bekerjasama;
  • Memaju dan mengembangkan minat, bakat dan kemahiran muri-murid dalam bidang-bidang tertentu;
  • Menyemai dan memupuk disiplin, nilai dan sikap positif di kalangan mereka selaras dengan hasrat Rukunegara;
  • Melatih murid mengisi masa lapang dengan gerakerja yang berfaedah di samping dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri mereka; dan
  • Menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dan memberi sumbangan kepada sekolah dan masyarakat.




29 April 2008

Berpengakap


Apa itu pengakap?

Pengakap adalah merupakan sebuah atau satu pergerakan atau pertubuhan sukarela yang tertua di dunia. Ia juga sesuai dianggotai oleh semua peringkat umur dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat orang tua.


Apa itu berpengakap?

Pengakap dan berpengakap dua rangkap kata yang mempunyai makna berasingan. Pengakap adalah seperti yang dijelaskan di atas iaitu sebuah pergerakan atau pertubuhan sukarela manakala berpengakap bermaksud kita yang terlibat di dalam pergerakan pengakap.


Matlamat berpengakap?

Ada beberapa sudut yang patut kita lihat dan maksudnya iaitu apa matlamat kita berpengakap dan apa wawasan kita melibatkan diri di dalam pengakap. Mari kita lihat apa yang ditulis oleh pengasas pergerakan pengakap, B.P. dalam bukunya iaitu ‘Scouting For Boys’ di dalam ‘Cerita Unggun Api No.1- Apa Itu Pengakap?’.

“Saya percaya setiap budak lelaki mahu membantu negaranya dengan apajua cara yang boleh. Ada satu cara yang senang sekali berbuat demikian iaitu dengan menjadi seorang Budak Pengakap.

“Seperti yang kamu tahu, seorang pengakap dalam tentera biasanya seorang askar yang dipilih kerana kepintaran dan ke-beraniannya pergi mencari di mana musuh berada dan melaporkannya kepada ketuanya.

“Tetapi, selain daripada pengakap dalam masa peperangan, ada juga pengakap dalam masa aman, iaitu orang-orang menjalankan kerja masing-masing yang juga mesti berani dan pintar.”

Ada dua matlamat yang diselitkan di dalam petikan cerita di atas tadi iaitu apa sumbangan seorang warganegara kepada negaranya dan setiap warganegara mestilah mempunyai keberanian serta kepintaran.


Tujuan berpengakap?

Berpengakap bermaksud kita melibatkan diri di dalam pergerakan atau pertubuhan pengakap. Di dalam pergerakan pengakap kita akan melibatkan diri kita sama ada di dalam pasukan yang ditaja atau terbuka.

Walaupun demikian matlamatnya adalah sama seperti:-

  • Untuk menggalakkan pembentukan jasmani, akal, social dan rohani anak-anak muda supaya mereka dapat melibatkan diri dalam pembangunan masyarakatnya.
  • Menyediakan suatu rancangan latihan yang progresif, menggembirakan dan menarik, yang berdasarkan kepada Persetiaan dan Undang-Undang dan berpandukan kepada kepimpinan dewasa.
  • Prinsip serta amalan adalah berdasarkan kepada Persetiaan dan Undang-Undang yang diterima secara sukarela oleh setiap individu yang berminat untuk melibatkan diri di dalam berpengakap.
  • Berpengakap itu adalah satu permainan yang berbeza dengan permainan yang lain. Permainan yang bukan menentukan yang menang dan yang kalah.
  • Anugerah Pengakap Raja dicipta untuk menguji ketabahan, kepintaran dan membuktikan kebolehan seseorang pengakap dengan menujukkan taraf tanggungjawab dan kepimpinannya.
  • Sistem latihannya telah disesuaikan mengikut peringkat umur ahli dan kematangan masing-masing menerusi didikan berdasarkan unit-unit tertentu seperti Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan seterusnya.
  • Seorang Pengakap boleh berusaha dan melayakkan diri bagi Lencana Keahlian untuk mamasuki ke Bahagian Pengakap Kelana.


Wawasan?

Dengan melibatkan diri di dalam pergerakan pengakap, kita dapat memberikan sumbangan kepada negara, di samping kita juga harus mempunyai sifat keberanian dan kepintaran. Di dalam berpengakap ini hendaklah secara sukarela dan tidak terdapat perbezaan tentang penerimaan kemasukkan ahli bagi sesuatu sebab, bangsa, kepercayaan, agama atau golongan.


Misi Pengakap?

Adalah untuk menyumbang kearah pendidikan golongan remaja, melalui sistem nilai yang berasas kepada Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap dalam membantu pembinaan sebuah dunia yang lebih baik di mana umat mendapat kepuasan diri sebagai individu dan memainkan peranan membina dalam masyarakat.


Peringkat Pengakap?

Terdapat lima peringkat dalam pengakap didalam Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM)

  1. Pengakap Kanak Kanak - ahli ahli yang berumur antara 8 hingga 12 tahun
  2. Pengakap Muda - ahli ahli yang berumur antara 13 hingga 15 tahun
  3. Pengakap Remaja - ahli ahli yang berumur antara 16 hingga 17 tahun.
  4. Pengakap Kelana - ahli ahli yang berumur antara 18-40 tahun.
  5. Pengakap Raja - ahli ahli yang telah mengikuti Pentarafan Pengakap Raja dan dianugerahkan Sijil Pengakap Raja yang ditandatangani oleh SPB Yang Di Pertuan Agong serta 9 Sultan Sultan Melayu



Kesimpulan?


  1. Melatih seorang warganegara untuk mencintai negaranya dan masyarakat.
  2. Melatih seorang warganegara untuk menjadi seorang yang pintar di samping mempunyai ciri-ciri keberanian dan mampu mengembangkan serta mampu berdikari.
  3. Melatih seorang warganegara untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan mematuhi peraturan mengikut undang-undang.
  4. Melatih seorang warganegara supaya mempunyai sikap terbuka dan sentiasa bersedia untuk menolong orang, tidak bersikap angkuh dan mementingkan diri sendiri.
  5. Melatih seorang warganegara untuk menjadi seorang yang berguna, gigih, tahan lasak, prihatin dan mempunyai wawasan untuk kepentingan umum.


Berpengakap pada kesimpulannya ialah bermaksud kita sebagai individu melibatkan diri di dalam pergerakan atau pertubuhan sukarela.

Tujuan kita melibatkan diri tersebut bukanlah bertujuan untuk kepentingan individu atau untuk menonjolkan diri.

Kita mempunyai sikap yang tidak selaras dengan pergerakan atau pertubuhan sukarela misalnya kita beranggapan hanya kitalah orang yang paling baik atau kitalah orang yang paling berkuasa dan sebagainya.

Sedangkan pada hakikatnya apa yang kita buat itu adalah merupakan penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan pihak-pihak yang lain tidak menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada individu itu sendiri malahan kepada pergerakan di mana kita melibatkan diri di dalamnya.

28 April 2008

Perlembagaan

Fasal 1 : Nama dan Alamat.

i. Persatuan ini adalah dikenali dengan nama PERTUBUHAN PENGAKAP KANAK-KANAK (PKK) SEKOLAH KEBANGSAAN PANDAN INDAH.

ii. Alamat yang didaftarkan bagi persatuan ini adalah SEKOLAH KEBANGSAAN PANDAN INDAH, 55100 AMPANG KUALA LUMPUR.


Fasal 2 : Tujuan Persatuan

i. Untuk melatih dan menonjolkan bakat kepimpinan.

ii. Untuk membantu program peningkatan kurikulum, motivasi dan mengurangkan masalah disiplin murid.

iii. Memberi peluang murid mengambil bahagian secara aktif melalui aktiviti yang disediakan.


Fasal 3 : Keahlian

i. Ahli persatuan ini adalah terdiri daripada murid-murid tahap 2 (tahun 4, 5 dan 6).

ii. Pemilihan ahli dibuat berdasarkan minat dan bakat pelajar pada awal tahun.

iii. Guru penasihat boleh mempengaruhi murid bagi tujuan menambah bilangan ahli persatuan.


Fasal 4 : Tanggungjawab dan Hak Ahli

i. Setiap ahli bertanggungjawab untuk menghadiri mesyuarat dan mengambil bahagian dalam semua aktiviti persatuan.

ii. Setiap ahli juga berhak untuk bersuara, memilih dan dilantik memegang sebarang jawatan dalam persatuan.


Fasal 5 : Mesyuarat

i. Satu mesyuarat agung perlu diadakan dalam perjumpaan pertama iaitu pada awal tahun untuk:
- memilih ahli Jawatan Kuasa persatuan.&
- kewangan
- ucapan penangguhan
- cadangan-cadangan

ii. Ahli Jawatan Kuasa adalah terdiri daripada:
a. Pengerusi
b. Setiausaha
c. Bendahari
d. Enam orang AJK (mewakili murid tahun 4, 5 dan 6)

iii. Mesyuarat AJK perlu diadakan dua kali setahun iaitu pada awal tahun dan pada akhir tahun berkenaan.

iv. Mesyuarat kali pertama akan memberi tumpuan untuk merancang aktiviti tahunan persatuan.

v. Korum-korum bagi mesyuarat agung hendaklah sebanyak 2/3 daripada jumlah keseluruhan ahli.

vi. Korum bagi mesyuarat AJK hendaklah sebanyak 2/3 daripada bilangan ahli-ahli jawatankuasa.


Fasal 6 : Tugas Pegawai Atau AJK Persatuan

i. Pengerusi - menjadi pengerusi mesyuaraat, bertanggungjawab untuk memastikan segala mesyuarat dan aktiviti dijalankan mengikut perlembagaan.

ii. Setiausaha - menjalankan urusan persatuan mengikut perlembagaan, menyimpan minit dan surat, menulis laporan mingguan, menyimpan segala rekod dan menyediakan laporan tahunan persatuan.

iii. Bendahari - bertanggungjawab dalam hal kutippan kewangan persatuan, apabila ada kutipan berlaku beliau perlu menyerahkan wang dan senarai nama ahli terlibat kepada Guru Penasihat.


Fasal 7 : Punca Kewangan / Pendapatan

i. Kewangan persatuan ini diperolehi melalui :
a. wang SUWA (Kokurikulum).
b. sumbangan PIBG.
c. derma daripada ahli dan orang ramai.

ii. Semua kutipan dan perbelanjaan wang untuk sebarang aktiviti persatuan perlu mendapat kelulusan pihak pentadbir sekolah dan rekod perbelanjaan mesti disediakan.


Fasal 8 : Pindaan Perlembagaan Persatuan

i. Perlembagaan persatuan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung.

ii. Perubahan atau pindaan itu hanya berkuatkuasa setelah mendapat persetujuan Guru Besar.


Fasal 9 : Tafsiran

i. Sekiranya timbul sesuatu yang tidak jelas mengenai tafsiran dalam perlembagaan ini, perkara itu hendaklah dirujukkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa. Keputusan Jawatankuasa mengenai perkara itu adalah muktamad.


Fasal 10 : Pembubaran

i. Persatuan ini tidak boleh dibubarkan kecuali dengan persetujuan Guru Besar atau Pentadbir Sekolah.

Photobucket

PELAWAT TERKINI